Wednesday 28 November 2012

NAMA             : KAMISAH BINTI ABDUL RAHMAN

KUMPULAN/UNIT    : KDPM KDC KEMAS AMBILAN NOV 2010/PRASEKOLAH

MATAPELAJARAN    : PENGURUSAN SUMBER

MAKLUMAT SEKOLAH : TABIKA KEMAS FELDA BESOUT 2,SUNGKAI.PERAK

Tuesday 31 July 2012

PERMAINAN KEJAR-KEJAR

Tujuan Permainan :

  1. Menangkap pemain yang dikejar.
  2. Bahan atau peralatan : Tiada
  3. Tempat : Kawasan lapang
  4. Bilangan kanak-kanak : lebih daripada 3 orang

Peraturan Permainan :

  • Siapa yang ditangkap mesti akan menjadi pengejar.


Cara Bermain :

  1. Bagi menentukan pemain yang menjadi pengejar, pemain perlu membuat undian.
  2. Undian dibuat dengan cara seorang membuka tangan dengan lebar. Pemain lain meletakkan jari telunjuk masing-masing di bawah tapak tangan.
  3. Mereka akan menyebut, "Lam alif" pemain yang tangan dibuka akan menutup dan menggenggam tangan.
  4. Pemain lain akan cuba mencabutnya daripada genggaman.
  5. Pemain yang jarinya tertangkap akan menjadi pengejar.
  6. Pengejar akan mengejar pemain lain, jika pemain berasa dia akan disentuh, maka dia perlu duduk.
  7. Seorang pemain berpeluang duduk sebanyak tiga kali sahaja apabila dikejar.
  8. Apabila dia duduk bermakna dia terselamat daripada dikejar dan tidak boleh disentuh oleh pengejar.
  9. Apabila pemain itu duduk untuk kali yang ketiga, dia tidak boleh bermain lagi sehingga permainan tamat.
  10. Pengejar perlu menyentuh pemain lain supaya pemain itu dapat menjadi pengejar pula.
  11. Permainan akan dimainkan semula.

PERMAINAN TANGKAP EKOR

Tujuan Permainan : 

  • Cuba mengutip seberapa banyak ekor (sapu tangan) dan ekor sendiri tidak hilang.


Senarai Keperluan :

  1. Bahan atau peralatan : sapu tangan ataupun tuala kecil
  2. Tempat : kawasan lapang
  3. Bilangan kanak-kanak : tidak terhad
Peraturan permainan :

  • Pemain cuba mendapatkan ekor (sapu tangan) sebanyak mungkin dalam masa yang sama pemain cuba mempertahankan ekor masing-masing.


Cara Bermain :

  1. Semua kanak-kanak ada ekor daripada sapu tangan.
  2. Masing-masing cuba mendapatkan ekor lain dan mengumpul sebanyak mungkin.
  3.  Sampai suatu masa guru membunyikan wisel.
  4. Kira berapa banyak sapu tangan yang dikutip oleh setiap murid.
  5. Pengutip sapu tangan terbanyak adalah pemenang.
  6. Permainan ini boleh diulang-ulang.


PERMAINAN CUIT BERANTAI

Tujuan Permainan :

  • Menangkap seberapa banyak peserta yang dapat.


Senarai Keperluan :

  1. Bahan atau peralatan : Tiada
  2. Tempat : kawasan lapang
  3. Bilangan kanak-kanak : Lebih daripada 3 orang


Peraturan Permainan :

  1. Siapa yang dicuit perlu masuk barisan.
  2. Ahli dalam barisan boleh mencuit seberapa banyak asalkan barisan tidak putus


Cara Bermain :


  1. 4 hingga 5 kanak-kanak berpegang tangan dalam barisan.
  2. Mereka berlari dalam barisan mengejar pemain lain.
  3. Hanya pemain hujung dan pangkal boleh mencuit kerana yang lain berpegang tangan.
  4. Apabila salah seorang yang dikejar dicuit ia mesti masuk barisan.

PERMAINAN LEMBU KENA KEPUNG

Tujuan Permainan :

  • Mengepung lembu supaya tidak dapat keluar dari kandang.


Senarai Keperluan :

  1. Bahan atau peralatan : Tiada
  2. Tempat : Kawasan lapang
  3. Bilangan kanak-kanak : 5 hingga 10 orang


Peraturan Permainan :

  • Seekor lembu dikepung oleh sekumpulan kanak-kanak yang memegang tangan dalam bulatan.


Cara Bermain :

  1. Kelas dibahagikan kepada kumpulan kecil. Satu kumpulan lebih kurang 5 hingga 8 orang.
  2. Kanak-kanak memegang tangan membentuk bulatan.
  3. Seorang kanak-kanak menjadi lembu duduk di tengah bulatan. Sambil beraksi dan bunyi seperti lembu, " mooo. moo... moo..."
  4. Lembu cuba keluar dari bulatan dengan menggunakan sebarang cara yang disukai.
  5. Apabila lembu dapat keluar ganti dengan kanak-kanak lain untuk menjadi lembu secara sukarela.

Thursday 26 July 2012

PERMAINAN BURUNG DAN SANGKAR

Senarai Keperluan :

  1. Bahan atau peralatan : Tiada ataupun gelung rotan
  2. Tempat : Kawasan lapang
  3. Bilangan kanak-kanak : setiap kumpulan mengandungi tiga orang. Tiada had bilangan kumpulan.


Peraturan Permainan :

  1. Setiap kumpulan mengandungi tiga orang kanak-kanak. Dua orang menjadi sangkar dan seorang lagi menjadi burung.
  2. Setiap kali burung terbang keluar mereka tidak boleh balik ke sangkar asal mereka, sebaliknya mereka masuk ke sangkar lain.


Cara Bermain : 

burung berterbangan mencari sangkar

burung masuk ke dalam sangkar


  1. Dua orang kanak-kanak menghadap antara satu sama lain berpegang tangan untuk menjadi sangkar.
  2. Seorang kanak-kanak lagi menjadi burung berdiri dalam  sangkar .
  3. Terdapat juga beberapa burung di luar sangkar yang tidak mempunyai sangkar.
  4. Apabila guru menyebut, "Burung terbang !" ataupun membunyikan wisel, semua burung perlu terbang di luar  sangkar , termasuk burung yang tidak mempunyai  sangkar .
  5. Apabila guru menyebut, "Burung pulang!" ataupun membunyikan wisel, semua burung perlu mencari sangkar.
  6. Burung tidak boleh balik ke sangkar asal mereka dan mesti bertukar sangkar lain.
  7. Ulang beberapa kali.
  8. Kanak-kanak yang menjadi sangkar pula bertukar menjadi burung.
  9. Ulang permainan beberapa kali.



PERMAINAN IKAN DALAM JARING

Senarai Keperluan :

  1. Bahan atau peralatan : Tiada
  2. Tempat : 
  • kawasan lapang
  • kolam atau laut yang dibina dengan menggunakan kapur ataupun tepung. Ambil kapur dan lukis di atas lantai ataupun guna tepung dan taburkannya di atas rumput. Buat supaya berbentuk bulat.
   3.  Bilangan kanak-kanak : 20 hingga 25 kanak-kanak

Peraturan permainan :
  • Ikan dalam jaring perlu keluar daripada jaring sebanyak mungkin.
Cara Bermain :
  1. 10 hingga 15 kanak-kanak dan berpegang tangan dalam barisan memanjang menjadi jaring.
  2. Jaring perlu berada di tepi kolam ataupun di tengah laut.
  3. Separuh lagi kanak-kanak daripada kelas itu menjadi ikan.
  4. Ikan perlu berada lebih kurang  jarak 20 kaki daripada jaring.
  5. Kanak-kanak bergerak di dalam kawasan yang ditandakan sebagai kolam. Mereka beraksi seolah-olah sedang berenang.
  6. Apabila isyarat 'mula' ataupun wisel dibunyikan, jaring cuba mengepung ikan.
  7. Ikan itu boleh melepaskan dirinya dengan berlari menerobos jaring, melompat ke atas ataupun bawah jaring.
  8. Ikan tidak boleh berenang keluar dari kawasan kolam.
  9. Ikan yang ditangkap dan keluar dari kolam semasa permainan tidak boleh bermain lagi.
  10. Ulang permainan dengan bertukar jaring menjadi ikan dan sebaliknya.
kanak-kanak yang menjadi ikan sedang berenang

ikan-ikan sedang menuju ke sangkar

LARI SEKELILING BULATAN

Senarai Keperluan :

  1. Bahan atau keperluan : Tiada
  2. Tempat : Kawasan lapang
  3. Bilangan kanak-kanak : 10 hingga 20 ataupun semua kanak-kanak dalam kelas
  4. Peraturan permainan : Setiap kanak-kanak akan mendapat satu nombor. Nombor yang disebutkan perlu lari dalam bulatan mengikut arah jam dan kembali semula apabila wisel dibunyikan.


Cara Bermain :

  1. 10 hingga 15 kanak-kanak membuat bulatan. Kemudian mereka akan duduk dalam bulatan.
  2. Setiap kanak-kanak akan diberi nombor di antara 1 hingga 4 secara berturutan.
  3. Kad nombor diikat dengan tali dan digantungkan pada lehernya supaya mudah guru mengenal pasti nombor pada kanak-kanak dan kanak-kanak dapat mengecam nombor-nombor tersebut.


Apabila guru menyebut nombor contohnya : NOMBOR 3: semua kanak-kanak yang memakai nombor 3 bangun.

PERMAINAN PERIGI BERACUN

Permainan ini tidak memerlukan props atau peralatan yang banyak.. 

Senarai Keperluan :
  1. Bahan atau peralatan (Gelung Rotan)
  2. Tempat : kawasan lapang
  3. Bilangan kanak-kanak : 4 hingga 6 orang
Peraturan Permainan :

  • Mereka yang termasuk dalam perigi (gelung rotan) semasa tarik menarik akan mati.
Cara Bermain :
  1. Buat beberapa kumpulan kecil yang mengandungi antara 4 hingga 6 orang kanak-kanak.
  2. Kanak-kanak berpegang tangan membentuk bulatan.
  3. Mereka cuba menarik antara satu sama lain dalam bulatan.
  4. Masing-masing cuba mengelak daripada terpijak ataupun termasuk dalam bulatan.
  5. Sesiapa yang terpijak ataupun terjatuh dalam bulatan dikira mati dan dikeluarkan daripada kumpulan.
1- kanak-kanak berpegang tangan membentuk bulatan

 2- kanak-kanak menarik antara satu sama lain dan mengelak daripada terjatuh dalam bulatan atau 'perigi'

3- kanak-kanak ini terpijak bulatan dan seterusnya terjatuh. Dia dianggap mati dan tidak boleh teruskan permainan.

Tuesday 17 July 2012

PERMAINAN CONGKAK


Permainan congkak ialah sejenis permainan Melayu tradisional yang digemari oleh kaum wanita dan kanak-kanak. Permainan ini memerlukan dua orang pemain.Alatan yang digunakan dalam permainan ini adalah papan congkak dan buah congkak. Kadang-kadang sebagai ganti papan congkak, lubang-lubangnya dibuat di atas tanah. Sementara biji-biji congkak pula ialah guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu kecil dan sebagainya. Setiap papan congkak hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja.

 


Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah". Buahnya boleh menggunakan biji getah ataupun guli.



 A) biji getah                           B) guli

CARA-CARA BERMAIN CONGKAK

a)Permainan ini dimulakan serentak dengan memasukkan sebiji "buah" ke dalam setiap "kampung" sendiri dan seterusnya masukkan ke dalam "rumah". Seterusnya "buah" hendaklah dimasukkan ke dalam "kampung" lawannya. Jika ia singgah di kampung lawan yang tidak ada buah ia dikira mati.
(b) Jika buah terakhir singgah di kampung lawan yang mempunyai buah, maka ia boleh meneruskan permainan.
(c) Jika ia mati di kampung sendiri, bertentangan dengan kampung lawan yang mempunyai buah, ia berhak mengambil buah lawannya itu.
(d) Sekiranya ia mati di kampung sendiri setelah melalui kampung lawan dan didapati di kampung lawan tidak ada buah, maka ia mati dalam kerugian.
(e) Di akhir permainan buah hanya tinggal beberapa biji sahaja dalam kampung masing-masing. Mereka dikehendaki berjalan tapak secara serentak menuju ke arah rumah masing-masing. Sekiranya salah seorang kehabisan buah dalam kampung ianya dikira kalah.


Sunday 15 July 2012

PERMAINAN SEPAK RAGA


Sepak raga merupakan sejenis permainan yang menggunakan bola rotan. Ia telah wujud sejak 600 tahun dahulu pada Zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15 M. Ia bertujuan untuk menguji kecekapan permain untuk menyepak, menanduk, mendada atau melutut bola raga dan menghalangnya daripada jatuh ke tanah.
Pada masa ini sepak raga dimainkan apabila ketiadaan jaring. Sepak raga dimainkan dalam bulatan, manakala sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, menggunakan gelanggang seperti dalam permainan badminton. Sepak raga juga telah digantikan dengan bola lain sekiranya ketiadaan bola takraw, dikenali sebagai menimang bola dalam bulatan.


  • Selain kanak-kanak lelaki, lelaki dewasa juga menggemari permainan ini.
  • Sebelum memulakan permainan, sebiji sepak raga yang diperbuat daripada rotan diperlukan.
  • Kesemua pemain berdiri dan membentuk satu bulatan.
  • Salah seorang pemain memegang bola raga, lalu melambung ke arah rakannya. Pemain menimang bola sekali atau beberapa kali sebelum menendang ke arah rakannya yang lain.
  • Setiap pemain mestilah memiliki kemahiran menimang bola agar ianya tidak jatuh ke tanah.
  • Jika bola jatuh ke tanah, salah seorang pemain mengutipnya, lalu melambung ke arah rakannya.

PERMAINAN GALAH PANJANG


Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

PERATURAN PERMAINAN


Kesemua pemain pasukan penyerang akan dikira mati jika salah seorang dari mereka dicuit oleh pemain pasukan bertahan.
Pemain pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi garisan gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran kedudukan pasukan.
Pasukan penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan gelanggang.








Pasukan penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat melepasi kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata diberikan kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.
Mana-mana pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira memenangi perlawan tersebut.

Saturday 14 July 2012

PERMAINAN MENCARI CUCU


Permainan 'mencari cucu’ mi merupakan salah satu daripada permainan tradisional. Anak-anak zaman sekarang tidak mengetahui beberapa permainan tradisional yang dahulunya menjadi permainan datuk nenek dan ibu bapa mereka semasa di alam kanak-kanak. Namun begitu permainan tradisional tidak harus dibiarkan Ienyap.

Dalam permainan ‘mencari cucu’ ini, kita hendaklah memilih satu kawasan yang Iapang di Iuar rumah. Jumlah pemain dalam permainan ini tidak terhad. Sediakan sehelai sapu tangan untuk menutup mata seorang pemain yang dipilih menjadi ‘nenek’.


Pemain ini diletakkan di tengah bulatan yang dibuat oleh pemain-pemain lain. Sambil berpegangan tangan dan mengelilingi ‘nenek’, mereka akan menyanyikan lagu:
Nenek, nenek si bongkok tiga,
Siang mengantuk malam berjaga,
Cari cucu di mana berada,
Nenekku kahwin dengan anak raja.
Sewaktu pemain-pemain lain menyanyikan lagu ini, ‘nenek’ hanya perlu mendiamkan diri dan membongkokkan badan berlagak seperti orang tua.
Sebaik sahaja selesai pemain yang lain menyanyi, pemain yang berlagak ‘nenek’ itu pula menyanyi:
Cucu, cucu, tak dapat Iari,
Nenek tua banyak sakti,
Sekarang nenek nak cari ganti,
Siapa kena dia yang jadi.
Setelah selesai ‘nenek’ menyanyi, pemain-pemain lain tidak dibenarkan berlari melainkan duduk di dalam bulatan sambil mendiamkan diri. Ketika ini ‘nenek’ akan meraba-raba mencari dan cuba meneka siapakah orang yang telah dipegangnya. Jika tekaannya betul, maka pemain yang telah diteka oleh ‘nenek’ itu pula menjadi ‘nenek’. Permainan ini diulangkan semula.

Permainan ini memang seronok dimainkan. Selain daripada menghiburkan permainan ini juga dapat mengeratkan lagi perhubungan antara satu sama lain.

PERMAINAN ACI SOROK atau SEMBUNYI-SEMBUNYI



  • Undian dilakukan untuk mendapatkan seorang pemain yang berperanan sebagai pencari. Manakala pemain lain dikenali sebagai awak-awak.
  • Tiang atau pokok dijadikan rumah induk untuk pencari membuat kiraan.
  • Pencari memulakan permainan dengan cara menutup matanya sambil membuat kiraan dari 1 hinggalah ke-100.
  • Sejurus selesai membuat kiraan, pencari memulakan pencariannya.
  • Pencari mestilah menyebut nama pemain diikuti sebutan 'ibu' apabila berjaya menjumpai salah seorang pemain.

PERMAINAN BATU SEREMBAN


Batu Serembat juga dikenali sebagai Batu Selambut atau Serembat. Permainan ini gemar dimain oleh kanak-kanak perempuan. Ia biasanya dimain secara berkumpulan – dua orang atau lebih. Objek-objek seperti guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain yang berbentuk bulat digunakan dalam permainan ini. Objek-objek ini dikenali sebagai buah. Batu seremban selalunya dimain pada waktu lapang – di serambi rumah, di dalam rumah atau di mana sahaja mereka mahu dengan memerlukan permukaan lantai yang rata. Pemain juga harus duduk diatas lantai supaya ia lebih senang dimainkan. Dalam permainan Batu Seremban, Terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permainan ini akan bermula dengan peringkat pertama yang mudah, di mana sebiji buah yang dinamakan buah satu digunakan, sehingga ke peringkat yang lebih sukar atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.


CARA BERMAIN

Buah Satu:
  • Kesemua buah hendaklah diselerakkan, berkeadaan semua buah tidak menyentuhi satu sama lain.
  • Sebiji buah akan dijadikan ibu, dan ibu itu harus dilambungkan ke udara.
  • Dalam masa yang sama, sebiji buah di atas lantai harus dikutip.
  • Perlakuan begini akan berterusan sehingga semua buah di atas lantai sudah dikutip,

Buah Dua:
  • Cara buah dua dimainkan ialah sama seperti buah satu.
  • Hanya dua biji buah harus dikutip dengan masa yang sama.
  • Ini bermakna, ibu akan dilambungkan sebanyak dua kali sahaja.

Buah Tiga:
  • Buah tiga ada sedikit perbezaan.
  • Pada lambungan pertama, hanya satu biji buah akan dikutip.
  • Lambungan yang kedua pula, tiga biji buah akan dikutip dengan serentak.

Buah Empat:
  • Buah ibu akan dilambungkan ke udara.
  • Pada masa yang sama, pemain harus mengutip kesemua empat biji buah yang berada di lantai dengan serentak.

Buah Lima:
  • Buah lima akan dimainkan seperti buah empat.
  • Pemain harus melambungkan buah ibu ke udara dan mengutip keempat-empat biji buah diatas lantai dengan serentak.
  • Selepas itu, buah ibu harus dilambungkan ke udara dan pada masa yang sama, empat biji buah yang ada di dalam tangan pemain harus diletakkan di atas lantai supaya hanya buah ibu sahaja yang akan disambut.

Buah Enam:
  • Pada peringkat yang ke-enam, pemain akan pendapat sedikit perbezaan.
  • Pada peringkat ini, pemain akan mendapat bahawa dua biji buah akan menjadi buah ibu.
  • Apabila sebiji daripadanya dilambung ke atas udara, sebiji lagi buah ibu harus ditukar dengan buah yang lain yang terdapat di atas lantai hingga selesai.

Buah Tujuh:
  • Buah tujuh adalah urutan daripada buah enam.
  • Dua biji buah yang ada di dalam tangan harus dilambungkan dengan serentak.
  • Selepas itu, hanya satu biji buah  yang akan dikutip.
  • Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua-dua belah tangan.
  • Satu di tangan kiri, dan lagi satu di tangan kanan.
  • Pada akhirnya, buah ibu yang dilambung terakhir juga akan disambut.



Friday 13 July 2012

PERMAINAN KONDA-KONDI



Konda-kondi adalah satu lagi permainan tradisional. Ia digemari kanak-kanak tidak mengira jantina.  Cara permainannya juga mudah. Namun ia memerlukan kerjasama berpasukan. 

CARA-CARA BERMAIN : 

  • Melakukan undian untuk mendapatkan giliran sebagai pemain kumpulan utama dan pemain kumpulan kedua.
  • Lubang dikorek di atas permukaan tanah. Pemain utama meletak kayu anak melintangi lubang. Lalu menguis kayu anak menggunakan kayu ibu.



  • Pemain kumpulan kedua berusaha menangkap kayu anak yang melambung di udara.
  • Jika kayu anak berjaya disambut, maka kumpulan utama dikira mati. Giliran permainan bertukar. Kumpulan kedua akan mengambil peranan sebagai kumpulan utama pula.
  • Meneruskan permainan pada tahap dua. Pemain utama memukul kayu anak.
  • Pemain utama berusaha menghalang kayu anak yang dibaling oleh pemain kedua.
  • Mata dikira dengan cara membaringkan kayu anak menghala ke arah lubang.

PERMAINAN PUKUL BERAPA DATUK HARIMAU

Ia sangat mudah untuk dimainkan. Hanya memerlukan seorang budak untuk menjadi Ibu Ayam dan menjaga budak-budak yang lain (yang akan beratur di belakangnya). Ibu Ayam akan menjaga anak-anaknya daripada ditangkap oleh Datuk Harimau yang berada di hadapan Ibu Ayam. 

Permainan dimulakan dengan nyanyian seperti ini :


Pukul berapa datuk harimau ? (Ibu dan anak ayam)
Pukul satu. (Harimau)
Pukul berapa datuk harimau ? (Ibu dan anak ayam)
Pukul.... auummmm ! 




Sang harimau boleh memilih untuk terus menjawab kiraan atau pun menjawab :
 "Masa untuk makan !"  lalu mula mengejar anakayam yang berada paling belakang dalam barisan.


Thursday 12 July 2012

PERMAINAN INJIT-INJIT SEMUT

Permainan ini amatlah mudah. Ia hanya memerlukan kita menggunakan tangan iaitu dengan menyusun tangan kita dengan mencubit atas tangan kawan dari bawah sehinggalah ke atas. Tangan yang di atas mencubit tangan yang di bawah sambil menyanyikan lagu ini :


Enjit- enjit semut, siapa sakit naik atas...
Enjit- enjit semut, siapa sakit naik atas...



Siapa yang terasa sakit akan melarikan tangan dan berada pada bahagian atas dan mencubit tangan yang berada di bawahnya. Permainan di teruskan sehinggalah berasa penat.

PERMAINAN BALING SELIPAR


Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan dan mereka bermain bersama-sama. Peralatan yang diperlukan adalah 3 belah selipar. Dan 1 lagi selipar untuk membaling atau menjatuhkan susunan selipar tersebut (seperti dalam rajah) .  Pemain pertama daripada kumpulan utama memulakan permainan dengan cara membaling 1 selipar ke arah selipar yang telah disusun. Setiap pemain dibenarkan membuat 3 kali lontaran untuk menjatuhkan kesemua selipar.


Pemain kedua dari kumpulan utama boleh menyambung permainan dengan melontar bola bagi menjatuhkan baki selipar yang ada.Jika kesemua selipar berjaya dijatuhkan, maka pemain kumpulan kedua berusaha mematikan lawannya dengan membuat balingan bola dan disasarkan ke arah anggota badan kumpulan utama.Satu mata diberikan jika pemain kumpulan utama berjaya menyusun semula kesemua selipar tersebut.

PERMAINAN TUDUNG BOTOL ATAU CEPER


Permainan ini menggunakan tudung botol minuman berkarbonat. Ianya menggunakan 5 tudung botol.Kaedah permainan hampir sama dengan batu seremban . Tujuan utama permainan ialah mendapatkan point melalui menimbang dan tuju tudung botol itu. Permainan ini dimonopolikan oleh kaum lelaki.
RAJAH 1
RAJAH 2














Permainan ini tak memerlukan kita mencari peralatan yang rumit. Hanya cari 5 penutup botol setiap seorang dan bolehlah kita semua mula bermain ! Caranya sangat mudah !

CARA BERMAIN :

1. mulakan seperti RAJAH 1 bagi menentukan nombor giliran peserta dulu.

2. Lepas itu peserta yang pertama akan menyusun 5 biji tutup botol seperti di gambar pada RAJAH 2 . Peserta perlu tuju tutup botol di hujung tangan kiri (atas) dengan memetik tutup botol di lengan seperti dalam rajah tersebut.

3. Jika kena, peserta perlu mengulangi langkah seperti pada RAJAH 1 bagi mengutip mata untuk dikumpul. Letak 5 tutup botol di tapak tangan dan baling ke atas dan cuba menyambut sebanyak mungkin apabila ia jatuh ke belakang tapak tangan. Mata dikumpul mengikut jumlah tutup botol yang dapat disambut dibelakang tapak tangan.

4. Peserta yang kedua dan seterusnya perlu melakukan perkara yang sama.

5. Perlu diingati bahawa , jika tutup yang dituju tak kena peserta tidak boleh mengumpul point untuk langkah pada RAJAH 1. Peserta yang seterusnya akan jalan pula.

6. Peserta yang dapat mengumpul mata paling banyak dikira juara.


Wednesday 11 July 2012

PERMAINAN LASTIK

Permainan lastik merupakan antara permainan kegemaran  kanak-kanak pada zaman dahulu. Ia sangat mudah untuk dimainkan. Kanak-kanak sering menggunakan lastik ini untuk melastik burung atau binatang lain. Malah, ada juga pada ketikannya, kanak-kanak akan menghabiskan waktu lapang dengan melastik tin susu kosong ataupun kotak kosong. 


lastik kayu
buah terung rembang


CONTOH CARA BERMAIN 



 Rajah A                                                                                    Rajah B      
___________________                         garisan mula                  ______________________








 XXXXXXXXXX                                                                                      X
                                                                                                        XX
                                                                                                         XXX
                                                                                                         XXXX

                                                                
                                                                                            

Untuk bermain permainan lastik ini , apa yang perlu adalah, buat garisan di padang dengan kasut atau dengan menggunakan ranting kayu jika dipasir . Lepas tu kita susun 10 kotak rokok ataupun tin yang kosong mengikut jarak yang dikehendaki.  Boleh menyusunnya berbagai cara (seperti rajah A ataupun B) dan kanak-kanak bergilir-gilir melastiknya. Siapa yang dapat melastik bagi kena dan menjatuhkan kotak tersebut dengan banyak dikira pemenang.


Bagi menjaga keselamatan diri dan harta benda, kami menggunakan buah terung rembang agar tidak mencederakan apabila tersesat mengena kawan-kawan. Bermain memang ternyata seronok, tapi keselamatan perlu di utamakan.

PERMAINAN JALA ITIK


Nama permainan ini agak unik. Pernah dengar nama permainan ini? Ia merupakan permainan yang tidak memerlukan sebarang props ataupun peralatan. Cukuplah sekadar menggunakan tangan dan badan pemain sahaja.


Ramai yang mungkin sudah lupa bagaimana untuk bermain permaianan ini. Senang saja sebenarnya. Caranya sangat mudah. Kita hanya perlu minta 2 orang kanak-kanak membuat perangkap (jala) seperti gambar di atas. Sementara kawan-kawan yang lain berjalan dibawahnya sambil menyanyi lagu ini :



Jan-jan jala itik , jala ayam,
Berapa lubang kancil ,
Seratus lima puluh ,
Singgah Cik Dayang singgah ,
Makan sirih mulutnya merah .


Lazimnya, permainan ini perlu dimainkan lebih daripada empat orang. Dua orang akan saling berpaut pada bahu masing-masing atau memegang tangan masing-masing dan meninggalkan ruang tengah untuk memberi laluan. Pemain lain akan memasuki ruangan itu ketika lagu dinyanyikan dan sebaik sahaja lagu habis dinyanyikan, pemain yang masih di ruangan tengah itu akan ditangkap dan dikira kalah dan didenda. 

Selesai lagu ini, 2 orang kanak-kanak akan menjatuhkan tangan dan menangkap sesiapa yang berada di jala tersebut.  2 kanak-kanak akan memujuk dan minta kanak-kanak yang ditangkap  memilih hendak duduk dibelakang siapa. Apabila selesai kumpulan yang ramai kanak-kanak dibelakangnya dikira menang.

Tuesday 10 July 2012

PERMAINAN ZERO POINT

Permainan lompat getah, juga disebut sebagai "lompat tali" dan "zero point"oleh masyarakat segelintir tempat, ialah sejenis permainan tradisional di Malaysia.


PEMAIN


 


Memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang pemain, iaitu seorang yang memegang hujung kanan getah dan seorang di hujung kiri getah, manakala seorang lagi sebagai orang yang akan melompat. Walau bagaimanapun, permainan akan lebih memyeronokkan jika lebih ramai yang bermain. Jika demikian, dua pasukan perlu dibentuk dan tiap-tiap pasukan perlulah dilantik ketua atau "ibu" yang akan memulakan permainan apabila tiba giliran.

GELANG GETAH


CARA BERMAIN

a) bagi menentukan giliran, kebiasaannya kaedah lai lai li tam plom akan digunakan, diikuti oleh ow som (jika tiga pemain sahaja). Jika ramai pemain, "ibu" kedua-dua pasukan perlulah ow som.
b) "ibu" memulakan permainan, diikuti "anak-anak". Jika "anak" melanggar giliran, kesemua ahli pasukan termasuk "ibu" akan mati dan pasukan lawan pula yang akan bermain.
c) pada awal permainan, getah dipegang tegang pada paras tapak kaki. Semua yang melompat ketika ini perlu menyebut "zero point" atau "kosong game" (bagi orang Kelantan). Pemain tidak boleh menyentuh tali. Jika tidak, pemain itu akan mati.
d) kemudian, getah dipegang pada paras lutut. Pemain perlu melompat tanpa mengenai getah.
e) paras berikutnya ialah paras paha. Namun, paras ini boleh ditinggalkan dengan persetujuan kedua-dua pasukan. Lompatan tidak boleh mengenai getah.
f) paras pinggang. Pemain boleh melompat dengan menyentuh getah.
g) paras dada.
h) paras telinga. (orang yang memegang getah perlu berwaspada demi keselamatan mata dan muka andai kata getah di hujung yang satu lagi terlucut daripada pegangan)
i) paras kepala.
j) sejengkal dari atas kepala. Boleh dikecualikan dengan persetujuan kedua-dua pasukan.
k) huruf Z dan C pada paras pinggang
l) melompat pada paras pinggang sambil menutup mata. Jika ada pemain yang mati pada paras yang sebelum ini, pemain itu boleh dihidupkan kembali jika pemain lain tolong membuat satu lompatan lengkap untuknya (bilangan mengikut persetujuan kedua-dua pasukan). Merupakan penamat kepada pusingan pertama permainan.

PERMAINAN TARIK UPIH

Tarik upih merupakan satu permainan kanak-kanak yang dimainkan oleh kanak-kanak di beberapa negara ASEAN. Upih pinang adalah pelepah/"pangkal" daun pokok Pinang. Lazimnya apabila pelepah ini tua, ia akan luruh atau jatuh ke tanah. Ketika pelepah ini jatuh ia masih berguna. Daun pinang dari pelepah itu akan dibuang dan dijadikan hulu atau tempat untuk menarik upih tersebut.


 


CARA BERMAIN

Upih ini mesti dimain dengan dua orang atau lebih. Seorang mesti menjadi tukang tarik dan seorang lagi duduk dalam upih. Biasanya yang seronok adalah apabila orang menarik kita. Terasa punggung macam digeletek. Tetapi sakit juga kalau terlanggar tunggul kayu atau ketul batu.
Upih ni boleh naik seorang, dua orang, tiga orang atau berapa saja asalkan muat dan bergantung kepada saiz upih yang luruh itu. Biasanya muat setakat seorang dua saja.
Permainan upih ini seronok kalau kita adakan pertandingan atau perlumbaan. Kenalah ada ramai kawan-kawan yang jadi penarik dan "penunggang" upih. Cuma lecehnya, upih ni nak kena tunggu luruh dulu baru boleh main. Upih pula bukan luruh hari-hari atau selalu.
Biasanya yang lebih tua / besar akan menjadi penarik, sementara yang kecil menjadi penunggangnya.

Monday 9 July 2012

PERMAINAN TUJU GULI


permainan ini berasaskan guLI dan dimainkan secara individ. Motif utama permainan ini ialah mendapatkan seberapa banyak guli melalui keadeh “tuju” dan membawa pulang. Peserta hendaklah mendapatkan giliran pada awal permainan. Setelah mendapat giliran, peserta dikehendaki mendapatkan lesen dengan me"nuju" guli yang berada di dalam bulatan. Banyak kaedah atau cara untuk bermain Guli ini.

Permainan ini sangat sesuai bagi kita melatih pergerakan mata tangan anak-anak kita. Kita cuma perlu sediakan guli dan bagi pada mereka dan dulu-dulu kami akan buat bulatan di tanah dan masukkan 5 biji guli seorang. Jadi jika yang mainnya 10 orang akan ada 50 biji guli didalamnya.




 


Buat garisan permulaan di tanah dan seorang demi seorang akan membaling guli kegarisan tersebut untuk menentukan giliran. Guli yang paling hampir dengan garisan mendapat giliran pertama dan seterusnya kepada yang lain.


Sunday 8 July 2012

PERMAINAN BOLA MINI



Pada zaman saya kecil-kecil dulu saya selalu bermain permainan yang kami buat sendiri. Misalnya permainan bola mini ini. Bahan-bahan yang kami gunakan ialah kotak yang digunting menjadi pemain-pemain dan tiang gol. Kertas timah yang direnyuk menjadi bola.


Seperti di dalam gambar kita boleh menggerakkan bola dengan meletakkan bola dihadapan pemain dan menepuk pemain agar bola bergerak kehadapan.  Pemain cuma boleh menggerakkan bola apabila bola berhenti berhampiran pemain samada sendiri atau lawan. Pihak yang berjaya menjaringkan gol yang banyak dikira sebagai pemenang. Bagi menentukan team yang mana menepuk bola dulu dengan melempar syiling. 

Saturday 7 July 2012

PERMAINAN COLEK LIDI


Namanya agak unik bukan? Dulu - dulu kami akan pergi ke kebun untuk cari daun kelapa dan ambil lidinya untuk bermain permainan ini. Bila kita dah raut daun kelapa untuk dapatkan lidinya baru kita potong lidi tadi lebih kurang 30cm panjang. Jadi perlulah merautnya dengan banyak kerana kita perlukan lebih kurang 50 batang lidi atau lebih yang berukuran 30cm.


Namun zaman dah berubah bahan untuk bermain pun berubah kerana sekarang kita tak menggunakan lidi untuk permainan ini sebab kita boleh beli batang plastik berwarna warni seperti dibawah.


Walaupun begitu, cara permainannya masih sama. Kita boleh bermain dengan menentukan giliran pemain dengan sendiri ataupun One Two Som.

1. Sediakan lantai yang lapang.
2. Pemain pertama genggam batang lidi dan lepaskan ke lantai.


3. Cuba ambil sebanyak mungkin batang lidi tanpa menggerakkan yang lain.
4. Jika ada batang lidi yang terusik dan bergerak walaupun sedikit, pemain akan hilang giliran.



 

5. Setiap batang lidi perlu diambil sebatang demi sebatang sehingga semuanya habis diambil tanpa menggerakkan lidi yang lain. 

 


6. Pemain juga boleh menggunakan lidi yang lain bagi membantu / menguis lidi yang ingin diambil seperti gambar diatas.
7. Pemenang akan dipilih berdasarkan bilangan jumlah lidi yang mereka dapat. Yang banyak adalah pemenangnya...he he he selamat mencuba.


PERMAINAN BALING TIN



Perkataan "tuju" atau dengan istilah lainnya ialah "baling" sudah dapat kita gambarkan keadaan tempat untuk memainkan permainan ini sudah semestinya mempunyai kawasan yang luas. Pemain dalam permainan ini tidak terhad asalkan dapat dibahagikan sama banyak antara ke dua-dua kumpulan. Alatan yang diperlukan adalah ringkas dan mudah di perolehi iaitu tin susu kosong dan bola tenis atau seumpamanya.


Permainan ini adalah mudah dimainkan, tin susu disusun membukit (seperti dalam gambar) di tengah padang oleh kumpulan A manakala pemain kumpulan B pula membuat balingan. Sekiranya susunan tin itu jatuh akibat lontaran bola tersebut, maka pemain kumpulan A akan cuba merebut bola itu dengan tujuan membalingkan kepada salah seorang ahli kumpulan B sebelum mereka sempat menyusun semula tin itu. Sementara itu, pelontar tadi hendaklah menyusun semula tin tersebut secepat mungkin dan boleh ditolong oleh rakan-rakan sekumpulan dengannya.

Ini memerlukan kebijaksanaan para pemain untuk bekerjasama. Jika pelontar tadi berjaya menyusun semula tin-tin itu sebelum kena baling daripada kumpulan A, maka kumpulan B mendapat satu mata. Jika pemain kumpulan B terkena balingan daripada kumpulan A maka pelontar itu dianggap "mati" dan pemindahan balingan pula berpihak kepada kumpulan A. Andainya bola yang dilontarkan ke susunan tin itu dapat disambut sebelum mencecah tanah, maka ke semua pemain kumpulan B dikira "mati".
Perkara berikut akan berulang sehinggalah salah satu kumpulan mendapat kiraan mata yang tertinggi dalam masa yang ditetapkan atau kedua-dua kumpulan sudah bosan untuk meneruskannya.